Pages

Ni teman sy Cik hams.., korg bg la mkn kt die ek..huhu.. klik je kt dlm ni ^_^

Thursday, February 3, 2011

Tokoh Perbankan Islam ~ Ustaz Zaharuddin


Nama beliau bukan sahaja terkenal di serata pelusuk negeri di Malaysia, bahkan juga di luar negara. Ustaz Haji Zaharuddin bin Haji Abd Rahman merupakan seorang pendakwah bebas, pengacara, pensyarah dan juga pakar dalam bidang perbankan Islam. Kepakaran beliau dapat dihidu oleh pelbagai syarikat terkemuka di dalam dan di luar negara sehinggakan beliau mendapat banyak tawaran kerja dari serata dunia.
"Semuanya bermula sewaktu di Universiti Malaya, ketika itu saya memegang jawatan sebagai Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya. Dan dari situ jugalah saya dapat merasakan tanggungjawab dan peranan yang perlu saya pikul dalam membimbing serta membuka jalan kepada anak-anak muda tentang keilmuan Islam," itulah kata-kata permulaan yang keluar dari mulut pendakwah terkenal, Ustaz Haji Zaharuddin bin Haji Abd Rahman.
Kisah beliau bermula apabila beliau menamatkan pengajiannya di dalam bidang Usuluddin di Universiti Malaya. Sudah menjadi kebiasaan, anak muda yang baru sahaja menamatkan pengajian akan mula sibuk mencari pekerjaan bagi menampung perbelanjaan diri dan juga keluarga.
Namun, lain pula bagi Ustaz Zaharuddin. Sebaik sahaja menamatkan pengajian, beliau berjinak-jinak dalam memberi motivasi kepada anak-anak muda. Walaupun secara sambilan, namun secara tidak langsung ia dapat memberi satu impak besar dan positif kepada remaja ketika itu.
"Tamat sahaja belajar, saya terus menjadi freelance motivator. Dari situ saya memupuk semangat mencabar diri saya dalam mengharungi kehidupan yang penuh dengan liku dan cabaran," kata Ustaz Zaharauddin.
Peluang jangan ditolak, sepanjang menjadi freelance motivator, Ustaz Zaharuddin berpeluang untuk berkenalan dengan ramai tokoh-tokoh korporat yang berjaya. Dan dari situ, beliau mengambil peluang dan kesempatan untuk merapatkan diri dengan golongan berjaya ini dan mendapatkan tips dan juga nasihat untuk melangkah ke hadapan.
Menurut Ustaz Zaharuddin, beliau berhenti menjadi freelance motivator dan mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajiannya di peringkat sarjana dalam jurusan Syariah di Universiti Al-Yarmouk, Jordan.
Kemudian, beliau bekerja dengan RHB Islamik Bank sebagai Pengurus Kanan di bank tersebut. Menurutnya, pengalaman bekerja di RHB merupakan sesuatu yang tidak dapat dilupakan oleh beliau pada ketika itu. Apa tidaknya, tugas beliau melibatkan segenap aspek perkara sehinggakan tidak menang tangan. Namun, beliau tidak mudah putus asa dan sudah menjadi kebiasaan membuat banyak kerja dalam satu masa.
Setiap saat beliau bekerja, beliau cuba mencari ruang dan peluang untuk mendapatkan ilmu. Beliau selalu menekankan di dalam dirinya supaya tidak jemu-jemu untuk mencari ilmu dengan ilmu orang yakni bermaksud tiada batasan dalam mencari ilmu.
 

~ety_iman~

Sunday, January 30, 2011

Iqra'..


Daripada surah Al-'Alaq 96:1-5 yang bermaksud sedemikian,,:
"Dia menarik dan mendakapku hingga aku berasa kepayahan untuk bernafas.Lalu dia melepaskanku dan berkata,"Bacalah...!" "Aku tidak dapat membaca...!" Dia menarik dan mendakapku lagi sehingga aku berasa sukar untuk bernafas. Kemudian dia melepaskan sambil berkata,"Bacalah...! Aku menjawab, "Aku tidak dapat membaca...!" Untuk yang ketiga kalinya, dia menarik dan mendakapku sehingga aku merasa kepayahan untuk bernafas, lalu ia melepaskanku dan berkata, " Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah...! Dan Tuhanmulah yang paling Pemurah, yang mengajarkan manusia dengan perantaraan kalam. Dia mengajar manusia apa yang tidak ia ketahui." 
*Gambar hiasan ~ insan membaca, insan maju
Peristiwa Rasulullah menerima wahyu:
- Wahyu pertama diterima Rasulullah pada hari isnin, 17 ramadan (6 ogos 610 M)
- Ketika itu Rasulullah berusia 40 tahun.
- Wahyu tersebut diterima baginda di Gua Hirak al-Jabar Nur.
- Surah al-Alaq, wahyu pertama yang berbunyi "Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang Amat Pemurah, yang mengajar manusia dengan perantaraan (menulis, membaca). Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya."
Begitulah gambaran yang diceritakan oleh RasululLah S.A.W kepada Khadijah isteri tercinta, ketika datang Jibrail A.S. Tentu ada sesuatu yang tersirat dan besar di sebalik peristiwa Iqra' yang terkenal ini. Mengapa disuruh baca sedangkan apakah yang hendak dibaca? Pertamanya, Allah telah memberi isyarat yang jelas kepada kita tentang kepentingan ilmu dengan kalimah"Bacalah...!" bukan "Ingatlah...!" atau"Sujudlah...!" atau sebagainya.
Betapa pentingnya lagi, kalimah iqra' telah diulangi sebanyak dua kali sebagai bukti perhatian Allah S.W.T. Menurut Al-Imam Ghazali, kewajiban membaca bergabung dalam dua keperluan iaitu maqru'ah (Al-Quran) dan manzurah (alam dan segala ciptaan Allah) yang membentuk ilmu naqli (Al-Quran dan Hadis) dan aqli (Sains, Matematik, Ekonomi dll).
Gabungan dua ilmu ini sebenarnya perlu dipunyai oleh khalifah yang diamanahkan Allah kepada manusia bagi mentadbir dunia ini. Sebarang pemisahan dan pengasingan kedua bentuk ilmu ini, akan membuka ruang dan memberi masalah besar kepada moral masyarakat Islam kita hari ini. Kemungkaran berleluasa, kerosakan akhlak, kebebasan tanpa had, kepunahan sistem hidup telah dikatakan hebat dan moden...! Sebaliknya, percubaan mengamal cara hidup Islam yang syumul, dikatakan kolot, jumud dan ketinggalan.
Inilah akibat daripada pengambilan hanya ilmu aqli tanpa mengakui keperluan ilmu naqli. Kesempurnaan ilmu naqli dan aqli merupakan jaminan ke arah kesejahteraan hidup manusia di dunia yang tersimpan dalam pengertian kalimah iqra' itu sendiri. Iqra' yang bererti"menghimpunkan" terkandung istilah menyampaikan, menelaah, membaca, meneliti dan mengetahui ciri-ciri sesuatu yang mencakupi persoalan alam, diri masyarakat dan lain-lain.
"Bacalah..., dengan menyebut nama Tuhanmu yang Menciptakan...!", memberi erti kesempurnaan membaca ialah dengan menyertakan nama-Nya, dorongan membaca dimulai dan digarapi dengan penghayatan ketauhidan terhadap Allah S.W.T. Jelaslah, kesempurnaan ilmu itu berlaku apabila perjalanan pengetahuan diserapi bersama pengakuan terhadap keEsaan dan Kebesaran Pencipta kita.
Kata Imam As-Syafie, "Jika kamu inginkan dunia, hendaklah dengan ilmu. Jika kamu inginkan akhirat, hendaklah dengan ilmu. Dan jika kamu inginkan kedua-duanya juga dengan ilmu...!"
Banyak membaca, banyak pengetahuan.
Renung-renungkan wahai sahabat2, teman2, serta sesiapa sahaja,, betapa Islam sememangnya menyuruh kita membaca & menuntut ilmu demi untuk mendapatkan ilmu dunia juga akhirat..
Sekian, wasalam ~ety_iman~

Cita-cita yang Tak Pernah Menjadi


Adakah cita2 menjadi tujuan..???

Bertanyalah pada mereka yang berusia lebih 20 tahun : apakah bidang yang mereka terokai itu, adalah apa yang mereka impikan? Saya percaya 5 daripada 10 orang daripada mereka yang ditanya itu akan mengiyakan dengan yakin dan bangga. Mereka ini akan berkata, 'ya' inilah bidang yang mereka ingin ceburi.
Bertanyalah pula pada mereka yang berusia lebih 30 tahun : apakah bidang yang mereka ceburi itu adalah apa yang mereka impikan? Saya percaya, daripada 10 orang yang ditanya, tidak seorang pun daripada mereka sedang menikmati bidang yang mereka cita-citakan.
Tanyalah mereka yang lebih 30 tahun di sekeliling anda; jiran, kenalan, sahabat, rakan sepejabat, malah sesiapa sahaja. Anda akan dapati bidang yang mereka terokai itu sama sekali bukan bidang yang dicita-citakan.
Adakah kedudukan kita sekarang seperti apa yg kita impikan.?? 
Malah, tanyalah diri kita sendiri. Apakah bidang yang menjadi kerjaya kita kini adalah sebenar-benarnya bidang yang kita impi-impikan? Jawapan yang jujur tentulah 'tidak!'
Okeylah, mana mungkin tiada sesiapa pun yang tidak mencapai dan menikmati apa yang dicita-citakan? Kenyataan di atas mungkin sekali andaian. Namun, jika kita temui orang yang benar-benar mempunyai cita-cita sejak kecil untuk menjadi arkitek dan dapat melanjutkan pelajaran dari peringkat diploma, degree, master dan peringkat kedoktoran di dalam bidang itu, dan kini adalah seorang arkitek ~ tanyalah kepada mereka apa yang mereka mahu? Jawapan mereka ialah mereka mahu meninggalkan bidang itu dan menceburi bidang lain!
Mengapa terjadi begini? Mengapa cita-cita yang diingini beralih arah, seiring waktu beranjak? Mengapa pula cita-cita yang digapai hendak dilepaskan pula? Bukankah ini menandakan hanya Dia berkuasa terhadap apa sahaja?
Merancanglah dengan teliti dan rapi. Kemudian berusahalah dan gapailah apa yang diimpikan itu. Sebaik sahaja kita berasa berjaya memperoleh sesuatu dengan usaha kita sendiri, tanpa kita sedari, apa yang dicita-citakan, apa yang tergapai semuanya akan melorot dari genggaman.
Kerana apa? Kerana Allah tidak mahu kita berasa, kitalah yang berjaya di atas usaha sendiri. Lantas berdasarkan kejayaan itu, kita terus berusaha dan berusaha hingga mempunyai kepercayaan yang kita berkuasa terhadap kehendak itu. Lantas perasan kitalah master of our destiny, lalu melupakan kesemuanya adalah di dalam genggaman-Nya.
"Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya)
samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; Akhirnya ia menjadi hancur bersepai dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa)
di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu) dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat) dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya."
~ Al- Hadid: 20
Justeru itu, janganlah terlalu berbangga bila memperoleh apa yang diimpikan. Jangan pula meraung sakan andainya apa yang dicita-citakan tidak dapat digapai. Segala-galanya adalah hak Pencipta seluruh alam ini.
~ety_iman~